Monday 1 April 2013

LAPORAN PENGGUNAAN RESOS



Setelah mendapat tugasan ini, saya dan pasangan telah bersepakat untuk menggunakan kad imbasan pecahan, lipatan kertas dan jalur pecahan sebagai resos bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH) kumpulan kami iaitu topik pecahan setara. Kami bersetuju untuk menggunakan ketiga-tiga resos ini memandangkan ianya sangat bersesuaian dan dapat memberi kefahaman yang baik kepada murid- murid untuk belajar topik pecahan setara.
Semasa sesi set induksi, kami telah menggunakan kad imbasan pecahan yang menunjukkan pecahan wajar dan pecahan tak wajar. Rasionalnya kami menunjukkan kad pecahan wajar dan tak wajar adalah untuk mengimbas kembali pelajaran yang telah dipelajari oleh murid pada sesi PdP yang lepas.  Bagi memastikan sama ada murid dapat menilai perbezaan antara pecahan wajar dan pecahan tak wajar, kami telah meminta murid untuk membuat dua kumpulan iaitu kumpulan wajar dan kumpulan tidak wajar berdasarkan kad pecahan yang diperoleh.
Semasa perkembangan langkah 1 pula, kami menggunakan kertas A4 dan marker sebagai resos. Kertas A4 digunakan untuk menunjukkan konsep pecahan setara kepada murid. Aktiviti ini dilakukan secara koperatif di dalam kumpulan masing- masing. Setiap kumpulan diberikan tiga helai kertas A4 dan tiga batang marker. setiap kumpulan akan melakukan aktiviti di mana kertas yang pertama dilipat menjadi dua bahagian dan dilorekkan satu daripada dua bahagian tersebut. kertas kedua pula dilipat menjadi lapan bahagian dan dua bahagian dilorekkan daripada lapan bahagian tersebut. Manakala kertas ketiga pula dilipat menjadi 16 bahagian dan empat bahagian dilorekkan daripada 16 bahagian tersebut.
Seterusnya, kami meminta murid untuk menyebut pecahan bagi ketiga-tiga kertas yang telah dilorekkan itu. Kemudian, kami meminta murid untuk mengenalpasti perbezaan antara kesemua pecahan tersebut. Apabila murid memberikan jawapan, barulah saya menerangkan tentang definisi dan konsep pecahan setara di mana jika diperhatikan pada kertas yang telah dilipat tadi, semua kertas yang telah dilorek mempunyai luas kawasan yang sama walaupun pecahannya berbeza. Jadi, inilah yang dipanggil sebagai pecahan setara.
Bagi langkah perkembangan 2 pula, kami menggunakan jalur pecahan sebagai resos. Satu aktiviti menukar jalur pecahan telah dilaksanakan. Permainan menyusun jalur pecahan ini dimainkan secara berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 3 orang ahli dan akan mendapat satu set jalur pecahan. Sebelum memulakan permainan, kami terlebih dahulu telah mengajar murid tentang cara untuk menggunakan jalur pecahan. Seterusnya, murid akan memulakan permainan di mana mereka perlu memilih satu pecahan. Kemudian, mereka perlu mencari jalur pecahan lain yang dapat digabung dan disusun sama panjang dengan jalur pecahan yang telah dipilih tadi.

No comments:

Post a Comment