Monday 1 April 2013

PENUTUP



Kerja kursus ini telah memberikan pengalaman mengajar yang baik bagi tajuk nombor, pecahan, perpuluhan  dan peratus. Ia meliputi aspek-aspek yang berkaitan dengan perkembangan konsep kanak-kanak, aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pembinaan bahan bantu mengajar untuk topik-topik ini.
            Menurut teori Konstruktivisme pula,  pembelajaran terbentuk hasil dari pembinaan pengetahuan berdasarkan pengalaman. Pembelajaran terbina hasil pencantuman maklumat dengan pengetahuan sedia ada.Pelajar yang belajar dan  berinteraksi dengan objek dan perkara-perkara dalam pembelajaran akan memahami apa yang dipelajari. Pelajar-pelajar akan membina sendiri konsep dan penyelesaian terhadap masalah yang diberi. Teori pembelajaran konstruktivisme berasas kepada penglibatan aktif pelajar dalam menyelesaikan masalah dan pemikiran kritikal tentang aktiviti pembelajaran di mana ianya relevan dan menarik. Pelajar membina pengetahuan sendiri dengan menjana idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan sedia ada dan pengalaman.
            Tugasan ini telah memberikan pendedahan kepada saya tentang penggunaan resos dalam PdP serta penyediaan Rancangan Pengajaran Harian(RPH) mengikut format yang betul. Sebagai seorang bakal guru, penyediaan resos dan RPH yang sesuai dan betul sangat penting kerana seorang guru perlulah sentiasa menyiapkan diri dan bersedia untuk menyampaikan isi pelajaran kepada murid-murid. Jadi,seorang guru perlu sentiasa berusaha untuk memberikan pengajaran yang terbaik kepada murid-muridnya.


RPH PECAHAN SETARA














KEBERKESANAN PENGGUNAAN RESOS DALAM PdP



Menurut Kamarudin Husin: 1989, pengajaran merupakan satu bentuk komunikasi bertujuan untuk memberitahu, mempengaruhi dan menghibur. Tugas pengajar ialah untuk menyampaikan satu himpunan maklumat atau fakta kepada murid-murid. Pembelajaran pula berlaku apabila seorang guru berjaya dalam mengawal komunikasinya dengan murid-murid. Pembelajaran berjaya dicapai dan dipertingkatkan melalui penerangan guru yang jelas, pengalaman yang bermakna kepada murid dan aktiviti yang dijalankan memberikan keseronokan kepada guru dan murid-murid.
            Menurut teori Konstruktivisme pula,  pembelajaran terbentuk hasil dari pembinaan pengetahuan berdasarkan pengalaman. Pembelajaran terbina hasil pencantuman maklumat dengan pengetahuan sedia ada.Pelajar yang belajar dan  berinteraksi dengan objek dan perkara-perkara dalam pembelajaran akan memahami apa yang dipelajari. Pelajar-pelajar akan membina sendiri konsep dan penyelesaian terhadap masalah yang diberi. Teori pembelajaran konstruktivisme berasas kepada penglibatan aktif pelajar dalam menyelesaikan masalah dan pemikiran kritikal tentang aktiviti pembelajaran di mana ianya relevan dan menarik. Pelajar membina pengetahuan sendiri dengan menjana idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan sedia ada dan pengalaman.
            Menurut Bruner pembelajaran adalah satu proses aktif di mana pelajar membina idea baru berdasarkan pengetahuan semasa atau lepas. Pelajar memilih dan mengubah maklumat, membina hipotesis, membuat keputusan bergantung kepada struktur kognitif untuk berbuat demikian.
Dalam proses menyampaikan idea dan kemahiran Matematik, resos boleh digunakan dalam bilik darjah. Pemilihan resos yang efektif sangat penting bagi memastikan kejayaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) serta mencapai objektif dan hasil pembelajaran dalam sesuatu topik yang diajar. Menurut Atan Long ( 1982: 174 ), resos dalam bilik darjah terdiri daripada pelbagai bahan di mana sesuatu bahan itu boleh disampaikan dengan pelbagai cara, misalnya dalam bentuk buku, carta, atau melalui slaid dan dipancarkan pada skrin. Resos merupakan satu kelengkapan atau peralatan yang terlibat dalam proses PdP yang dapat membantu guru dan murid melalui satu proses PdP yang bermakna. Resos dalam PdP bukan terhad kepada penggunaan buku teks, papan hitam, kapur dan gambar sahaja, tetapi  merangkumi semua perkara yang melibatkan pancaindera murid iaitu mendengar, melihat, merasa, dan menghidu serta semua pengalaman dan situasi yang dialami oleh murid-murid dalam bilik darjah.

Penggunaan resos dalam PdP adalah sebagai alat pemudahcara untuk membantu guru menyampaikan isi pelajaran, bertujuan mencapai objektif pengajaran yang telah dirancang dan  supaya murid-murid lebih memahami pengajaran guru seterusnya dapat menerima pembelajaran dengan cepat. Resos ini juga dapat mengelakkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas lebih menjurus kepada keadaan yang diselubungi kebosanan dalam kalangan murid-murid, kerana murid-murid hanya lebih menumpukan perhatian terhadap pengajaran satu hala oleh guru. Sebaliknya dengan adanya resos, proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengelakkan dari timbulnya masalah disiplin di dalam kelas. Selain itu,resos juga dapat mencungkil kreativiti guru untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas lebih mencabar. Guru juga lebih terdedah dengan kemajuan sains dan teknologi jika guru mempunyai inisiatif untuk meneroka dunia tanpa sempadan ini, dan mengaplikasikannya dalam PdP.
            Memilih dan menyediakan bahan resos yang sesuai akan dapat mewujudkan suasana belajar yang kondusif dan selesa. Suasana bilik darjah yang kondusif merupakan aspek yang paling penting perlu dititikberatkan supaya murid-murid dapat belajar dan menerima apa yang disampaikan tanpa sebarang gangguan. Dengan itu, murid-murid yang baik dan cemerlang akan dapat dilahirkan kerana mereka dapat belajar dengan baik.
            Contoh resos yang boleh didapati ialah bahan bercetak, bahan manipulatif dan PdP menggunakan perisian komputer serta teknologi maklumat dan komunikasi. Contoh bahan bercetak yang boleh digunakan ialah buku-buku, jurnal-jurnal dan kalendar. Contoh bahan manipulatif pula ialah kit manipulatif yang terdiri daripada papan geo, blok Dienes, rod Cruisenaire dan blok asas sepuluh. Selain itu, alat penimbang dan alat mengira seperti kalkulator, abakus, rod dan batang kayu juga merupakan resos. Manakala komputer, projektor dan perisian komputer yang berkaitan penyelesaian masalah Matematik juga boleh digunakan sebagai alat tambahan dan pelengkap kepada resos.
            Resos merupakan satu elemen yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kita selalu beranggapan bahawa penggunaan perkataan di dalam kelas sudah memadai untuk menyampaikan mesej dalam sesuatu pengajaran. Seringkali ramai guru yang berpegang kepada kepercayaan tersebut. Hal ini menyebabkan timbulnya masalah komunikasi antara guru dengan murid. Justeru itu, penggunaan resos adalah berkesan jika pengajaran berdasarkan perkataan bersama-sama dengan gambar atau simbol yang lebih konkrit maknanya dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada murid. Misalnya untuk menyatakan konsep “besar”, guru bolehlah menunjukkan satu objek atau gambar yang bersaiz lebih besar daripada gambar atau objek lain. Ini dapat digunakan untuk menunjukkan konsep“besar” yang dimaksudkannya. Sekiranya menggunakan perkataan semata-mata, maka sesuatu proses pengajaran tersebut akan lebih bersifat abstrak dan sukar difahami serta tidak dapat memberikan gambaran yang jelas kepada murid. Dengan menggunakan resos, segala bentuk simbol dan komunikasi verbal yang abstrak dapat diperjelaskan. Ini memudahkan murid untuk memahami isi kandungan sesuatu pelajaran.
            Walaupun kurikulum dan bahan pengajaran yang ditentukan adalah sama bagi setiap murid, sifat unik yang ada pada setiap murid dan ditambah pula persekitaran yang berbeza akan membuatkan guru mengalami sedikit kesulitan dalam mengatasi perkara tersebut. Keadaan itu dapat diatasi dengan penggunaan resos dalam PdP kerana kemampuannya dalam memberikan pengalaman dan persepsi yang sama serta tepat tentang sesuatu konsep atau prinsip kepada semua pelajar. Selain itu, pencapaian para pelajar akan menjadi lebih berkesan melalui penggunaan resos. Hal ini kerana murid dapat memahami dan menguasai sesuatu konsep dan secara tidak langsung dapat memperbaiki keputusan penilaian di dalam kelas. Guru juga dapat memenuhi pencapaian objektif pembelajaran yang diharapkan dalam sesuatu isi kandungan pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran.
Terdapat beberapa garis panduan yang boleh dijadikan rujukan oleh guru dalam menentukan pemilihan resos yang boleh digunakan dalam PdP. Anataranya ialah resos yang dipilih semestinya sesuai. Perkataan sesuai itu sendiri membawa maksud bertepatan,  di mana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan sesuatu topik dan perbendaharaan kata serta bahasa yang digunakan mestilah boleh difahami oleh murid. Pemilihan resos hendaklah mempunyai hubungan kesesuaian dengan perkara-perkara seperti objektif dan maklamat pengajaran, pendekatan, teknik dan kaedah yang digunakan, keadaan murid, suasana pembelajaran dan minat murid.
            Guru hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih dan menentukan resos yang sesuai digunakan. Denagn objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih bahan-bahan yang sesuai untuk dijadikan resos yang akan dapat membantu ke arah tercapainya objektif pengajaran tersebut. Resos yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan situasi tempatan. Guru juga sepatutnya mengambil kira keadaan murid yang datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman sosial, pendidikan, ekonomi, taraf pencapaian dan sebagainya ketika menyediakan resos. Resos yang sesuai dengan segolongan murid, mungkin tidak sesuai dengan segolongan murid yang lain. Faktor lain adalah suasana pembelajaran, dimana resos yang sesuai dengan suasana pembelajaran akan meninggalkan kesan yang baik.Elemen penting dalam suasana pembelajaran ialah murid, isi pelajaran, resos dan guru. Jadi, guru perlu menyediakan resos yang bersesuaian dengan semua murid yang terdiri daripada pelbagai kecerdasan supaya semua murid mendapat manfaat daripada resos yang digunakan.
Selain itu, resos yang digunakan juga hendaklah merupakan sesuatu yang mencabar. Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, resos yang dipilih seharusnya dapat memberikan rangsangan untuk murid berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar. Satu strategi pemeringkatan bahan pembelajaran yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan-bahan yang dipilih itu mesti terdiri daripada resos yang mengandungi ciri-ciri seperti bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak, bahan yang mudah kepada yang kompleks, bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu, bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif), bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif) dan bahan yang umum kepada teori. Hal ini sangat penting bagi memastikan resos yang digunakan dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang optimum kepada murid.
            Di samping itu, resos yang digunakan perlulah menarik. Bahan resos yang digunakan harus disediakan dengan menggunakan gambar atau imej yang berwarna- warni. Kajian berkaitan penggunaan warna di dalam penyediaan bahan resos juga telah dijalankan oleh Barry (1976), dan Suzita Mohd Resad, (2002), Hasil daripada kajian yang beliau jalankan, penggunaan gambar atau imej yang berwarna dapat meningkatkan pemahaman murid dan menyenangkan proses penyimpanan maklumat dalam kotak minda mereka. Perkataan menarik juga bermaksud reka letak peta, lukisan, carta, jadual, graf, rajah, gambar atau kartun mestilah disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan. Ini akan memudahkan pelajar membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep. Ilustrasi dan bahan grafik yang disediakan pula bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang  dapat menambah atau mengukuhkan pembacaan dan pemahaman murid.
            Garis panduan yang seterusnya dalam menghasilkan resos ialah tidak menggunakan kos yang tinggi, mudah dan praktikal. Resos yang dihasilkan tidak semestinya menggunakan bahan- bahan yang mahal. Malahan, seorang guru yang kreatif boleh memanfaatkan kreativitinya untuk menghasilkan resos yang berkesan dengan hanya menggunakan bahan terbuang. Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Resos pengajaran seharusnya sederhana dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk bahasa yang berdasarkan situasi sebenar. Ini dapat membantu pelajar menggunakan bahasa dalam komunikasi. Selain itu, bahan tersebut seharusnya tahan lasak jika digunakan berulang-ulang kali dan adalah lebih baik sekiranya resos tersebut dapat digunakan untuk lebih dari satu mata pelajaran dan juga sesuai pada masa dan mata pelajaran lain. Garis panduan terakhir dalam pemilihan resos ialah mudah alih. Resos yang dipilih hendaklah sentiasa berfungsi, boleh dibawa kemana-mana, dan tidak terlalu berat atau besar.
            Penggunaan sumber dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlulah melibatkan pelbagai deria dalam kalangan murid. Keadaan ini dapat memberikan tarikan dan rangsangan kepada murid untuk lebih berminat dalam pembelajaran. Penggunaan bahan pelbagai sumber akan memberi kesan kepada semua pancaindera murid. Aktiviti ‘hand on´ serta interaksi dengan alat-alat teknologi canggih akan mengoptimumkan proses pembelajaran. Contohnya , guru boleh menjadikan pengajarannya lebih berkesan dengan menggunakan bahan audio, video, perisian, multimedia dan diikuti dengan penggunaan bahan bercetak seperti dalam aktiviti perbincangan dengan rakan sebaya. Pengajaran dan pembelajaran boleh diteruskan dengan menggunakan bahan daripada internet untuk mendedahkan pelajar dengan maklumat terkini. Pada akhir pembelajaran murid akan digalakkan membuat persembahan hasil pembelajaran melalui kumpulan dan disebarkan kepada rakan sekelas.
Pembelajaran Matematik melibatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan fakta,  kemahiran dan prosedur yang lebih tinggi. Ia memerlukan struktur konseptual, strategi tentang penyelesaian, kaedah penyelesaian, pendekatan untuk menyelesaikan masalah dan sikap penghargaan tehadap Matematik. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku seharusnya mampu menggalakkan dan meningkatkan minat serta kemampuan murid untuk memahami konsep Matematik secara maksimum. Oleh itu, seorang bakal guru perlulah mahir untuk memilih resos dan bahan bahan yang mampu merangsang minat dan tumpuan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran Matematik.
Antara contoh resos yang biasa digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran subjek Matematik ialah penggunaan blok asas sepuluh dan abakus. Penggunaan kedua-dua resos ini mampu memberikan kefahaman yang baik kepada murid untuk mengira dengan cepat dan juga menggunakan pengiraan mental. Kedua- dua resos ini juga dapat menjimatkan masa di mana murid dapat mengira dan mendapatkan jawapan dalam masa yang singkat. Hal ini sekali gus dapat meningkatkan minat murid untuk lebih mendalami subjek Matematik apabila mereka menganggap Matematik itu mudah kerana mereka boleh mendapatkan jawapan kepada soalan yang dibrikan dengan cepat apabila menggunakan abakus dan blok asas sepuluh.
Satu Modul Abakus dan Aritmetik Mental telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan untuk melahirkan murid yang dapat menguasai pengiraan mental. Model Pengiraan Abakus merupakan asas kepada perkembangan pengiraan secara mental. Pada tahun 1996, Kementerian Pelajaran Malaysia bersetuju untuk menggunakan abakus dan dalam masa yang sama mengintegrasikan idea aritmetik mental dalam program ini. Program Abakus dan Aritmetik Mental mula digunakan secara formal di sekolah rendah pada tahun 2004. Strategi pelaksanaan abakus dinyatakan dalam kurikulum Matematik sekolah rendah. Abakus merupakan satu alat untuk menguasai kemahiran mengira. Abakus juga digunakan sebagai model konsep untuk menguasai pemahaman tentang konsep nombor bulat, tambah dan tolak.
Cara penggunaan abakus adalah sangat ringkas dan mudah. Manik yang terdapat pada abakus perlu dinaik dan diturunkan dengan menggunakan tiga jari sahaja iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu. Ibu jari digunakan untuk menggerakkan manik bawah menghala ke palang pemisah. Jari telunjuk pula digunakan untuk menggerakkan manik bawah jauh daripada palang pemisah manakala jari hantu digunakan untuk menggerakkan manik atas  mendekati dan juga jauh daripada palang pemisah. Setiap tiang mempunya 4 biji manik di bahagian bawah manakala 1 biji manik di bahagian atas. Pengiraan dilakukan dengan menempatkan abakus atas meja atau riba dan menggerakkan manik dengan jari-jari pada satu tangan sahaja. Setiap manik di bahagian atas mempunyai nilai lima manakala setiap manik di bahagian bawah bernilai satu. Manik- manik diambilkira sebagai telah dikira apabila digerakkan menuju ke palang pemisah yang memisahkan bahagian atas dan bawah. Tiang yang paling kanan mewakili sa, manakala tiang bersebelahan di kiri mewakili puluh dan seterusnya ke kiri mewakili nilai tempat yang lebih besar.  Selepas kesemua empat manik di bahagian bawah habis digunakan, nilainya dibawa ke bahagaian atas. Begitu juga sekiranya manik atas telah dikira, pengiraan diteruskan ke manik di bahagian bawah. Pengiraan yang melibatkan nombor perpuluhan boleh dijalankan dengan meletakkan titik perpuluhan di antara dua tiang. Ini bermaksud tiang di sebelah kanan titik perpuluhan mewakili tempat perpuluhan manakala tiang sebelah kiri mewakili nombor bulat.
Dengan adanya pelbagai resos yang digunakan pada masa kini, sesi PdP dalam bilik darjah kian menyeronokkan di samping dapat menarik perhatian murid yang kurang berminat untuk belajar. Selain itu, penggunaan resos juga dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar dan kekurangan masa di mana dengan adanya resos, murid dapat belajar dengan sendiri walaupun semasa ketiadaan guru. Apabila murid mula meneroka resos ini, mereka akan lebih faham tentang sesuatu topik kerana murid memperoleh pengalaman bermakna melalui resos yang disediakan oleh itu. Oleh itu, guru perlu menitikberatkan keberkesanan resos yang digunakan supaya dapat menarik minat murid seterusnya merangsang pemikiran mereka untuk bergerak lebih maju ke hadapan. Murid juga dapat memahami dengan lebih mendalam dan secara realistik tentang tajuk yang diajar apabila mereka didedahkan dengan penggunaan resos bagi membantu meningkatkan pemahaman mereka. 
Keberkesanan setiap resos bukan terletak pada kecanggihan bahan atau alat tersebut, namun yang lebih utamanya ialah kesesuaiannya berdasarkan penggunaan serta penyerlahan konsep atau idea kandungan sesuatu mata pelajaran. Di samping itu kecekapan seseorang guru mengapliksikan resos adalah penting kerana kegagalannya menyebabkan pengajaran menjadi tidak berkesan atau merosakkan pengajaran dan pembelajaran seluruhnya. Omardin Ashaari (1997), berpendapat sebagai pendidik, guru juga harus dapat membuat penilaian mengenai resos yang dipilih untuk digunakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.
Berdasarkan perbincangan di atas, Kamarudin Hj Husin (1988) telah merumuskan bahawa resos yang digunakan oleh guru dalam sesuatu pengajaran mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Antaranya ialah resos yang digunakan dapat memberi rangsangan dan mengekalkan minat murid. Seterusnya beliau menyatakan bahawa resos dapat menyediakan dasar yang kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran serta mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada pelajar-pelajar. Penggunaan bahan sokongan seperti gambar, komputer atau internet atau sebarang bahan sokongan akan memberikan kesan peneguhan.Contohnya dengan melayari internet banyak maklumat yang akan diperolehi oleh murid, sekaligus internet akan mengurangkan gerak balas lisan yang tidak perlu di kalangan para pelajar. Mereka akan memberikan tumpuan kepada bahan-bahan atau maklumat yang sedang diterokai.
Selain itu, penggunaan resos juga dapat mempelbagaikan aktiviti dalam proses  pengajaran dan pembelajaran. Melalui resos yang sesuai akan memberi peluang pelajar berinteraksi dengan bahan tersebut atau dalam kumpulan pembelajaran. Justeru itu, hal ini  dapat mengurangkan kaedah chalk dan talk, yang kurang digemari oleh para pelajar. Resos yang digunakan juga dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada para pelajar berbanding kaedah konvesional yang lebih memfokuskan penggunaan kaedah syarahan dan buku teks. Penggunaan bahan yang menarik akan memberikan keseronokan kepada murid. Mereka akan rasa terhibur dan terangsang lebih-lebih lagi sekiranya guru yang mengajar bijak memainkan peranan. Murid juga perlu dilibatkan bersama dan secara tidak langsung pembelajaran secara interaktif dapat dilaksnakan. Kepentingan resos bukan sekadar yang telah dinyatakan dia atas sahaja, malah ia juga dapat membina pemikiran yang berterusan dan dapat memberi pengalaman baru kepada murid.



















LAPORAN PENGGUNAAN RESOS



Setelah mendapat tugasan ini, saya dan pasangan telah bersepakat untuk menggunakan kad imbasan pecahan, lipatan kertas dan jalur pecahan sebagai resos bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH) kumpulan kami iaitu topik pecahan setara. Kami bersetuju untuk menggunakan ketiga-tiga resos ini memandangkan ianya sangat bersesuaian dan dapat memberi kefahaman yang baik kepada murid- murid untuk belajar topik pecahan setara.
Semasa sesi set induksi, kami telah menggunakan kad imbasan pecahan yang menunjukkan pecahan wajar dan pecahan tak wajar. Rasionalnya kami menunjukkan kad pecahan wajar dan tak wajar adalah untuk mengimbas kembali pelajaran yang telah dipelajari oleh murid pada sesi PdP yang lepas.  Bagi memastikan sama ada murid dapat menilai perbezaan antara pecahan wajar dan pecahan tak wajar, kami telah meminta murid untuk membuat dua kumpulan iaitu kumpulan wajar dan kumpulan tidak wajar berdasarkan kad pecahan yang diperoleh.
Semasa perkembangan langkah 1 pula, kami menggunakan kertas A4 dan marker sebagai resos. Kertas A4 digunakan untuk menunjukkan konsep pecahan setara kepada murid. Aktiviti ini dilakukan secara koperatif di dalam kumpulan masing- masing. Setiap kumpulan diberikan tiga helai kertas A4 dan tiga batang marker. setiap kumpulan akan melakukan aktiviti di mana kertas yang pertama dilipat menjadi dua bahagian dan dilorekkan satu daripada dua bahagian tersebut. kertas kedua pula dilipat menjadi lapan bahagian dan dua bahagian dilorekkan daripada lapan bahagian tersebut. Manakala kertas ketiga pula dilipat menjadi 16 bahagian dan empat bahagian dilorekkan daripada 16 bahagian tersebut.
Seterusnya, kami meminta murid untuk menyebut pecahan bagi ketiga-tiga kertas yang telah dilorekkan itu. Kemudian, kami meminta murid untuk mengenalpasti perbezaan antara kesemua pecahan tersebut. Apabila murid memberikan jawapan, barulah saya menerangkan tentang definisi dan konsep pecahan setara di mana jika diperhatikan pada kertas yang telah dilipat tadi, semua kertas yang telah dilorek mempunyai luas kawasan yang sama walaupun pecahannya berbeza. Jadi, inilah yang dipanggil sebagai pecahan setara.
Bagi langkah perkembangan 2 pula, kami menggunakan jalur pecahan sebagai resos. Satu aktiviti menukar jalur pecahan telah dilaksanakan. Permainan menyusun jalur pecahan ini dimainkan secara berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 3 orang ahli dan akan mendapat satu set jalur pecahan. Sebelum memulakan permainan, kami terlebih dahulu telah mengajar murid tentang cara untuk menggunakan jalur pecahan. Seterusnya, murid akan memulakan permainan di mana mereka perlu memilih satu pecahan. Kemudian, mereka perlu mencari jalur pecahan lain yang dapat digabung dan disusun sama panjang dengan jalur pecahan yang telah dipilih tadi.

PENGENALAN



Mengajar nombor, pecahan, perpuluhan dan peratusan merupakan satu subjek yang menghubungkaitkan teori pembelajaran Matematik dalam rangka pembelajaran kanak-kanak dengan nombor, pecahan, perpuluhan dan peratusan melalui pengajaran mikro.
           Tugasan ini memerlukan saya untuk menyediakan satu pakej resos yang sesuai bagi menyokong PdP serta menilai sejauh mana penggunaan resos dapat menghasilkan PdP yang berkesan. Resos merupakan satu kelengkapan atau peralatan yang terlibat dalam proses PdP yang dapat membantu guru dan murid melalui satu proses PdP yang bermakna.
            Selain itu, saya perlu membina satu Rancangan Pengajaran Harian (RPH) berkaitan dengan salah satu tajuk di atas. RPH merupakan satu perancangan yang dibuat oleh seseorang guru sebelum memulakan sesi PdP. Penyediaan RPH sangat penting supaya guru mengetahui dan mendalami isi pelajaran yang akan disampaikan pada hari tersebut.
            Melalui RPH yang dibuat, saya perlu melaksanakan pengajaran mikro di dalam bilik darjah. Pengajaran mikro merupakan satu latihan mengajar yang perlu dijalani oleh semua guru pelatih sebagai persediaan awal dan pengalaman sebelum menjejakkan kaki ke sekolah semasa menjalani praktikum seterusnya apabila ditempatkan di sekolah kelak.